Kekecewaan yang dirasai pada tahun lalu jelas menjadi pembakar semangat buat pelumba muda dalam perlumbaan Honda Dash 125 Challenge, Muhammad Amir Asyraf Mohd Azman untuk tampil lebih bertenaga pada kempen 2023.

Anak muda kelahiran Ipoh, Perak itu terpaksa melupakan sebahagian besar perlumbaan pada 2022 selepas mengalami patah tangan yang jelas sekali gus membantutkan harapannya untuk membuktikan kemampuan.

Berkat kesabaran Amir Asyraf berikutan tempoh rehat lama tanpa sebarang aksi di litar itu bagaimanapun dilihat sudah mula membuahkan hasil apabila beliau tampil cemerlang pada empat perlumbaan setakat ini.

Pelumba berusia 18 tahun itu berjaya menaiki podium sebanyak tiga kali yang mana perlumbaan keempat di Litar Sepang (Litar Selatan) menyaksikan Amir Asyraf muncul juara dengan catatan masa 9:21.890 bagi meninggalkan pendahulu keseluruhan setakat ini, Md Danish Hakimi Mahadi dengan kelebihan 0.028 saat.

Sebelum itu, Amir Asyraf meraih tempat kedua pada perlumbaan pertama di Litar Sepang (Litar Utara), ketiga ketika sirkit kedua di Litar Jempol, Negeri Sembilan dan kemudiannya di kedudukan keempat di Jasin, Melaka.

“Kejayaan ini memang cukup manis buat saya dan sudah pastinya amat gembira dapat menaiki podium apatah lagi berjaya menjuarai saingan perlumbaan keempat di Litar Sepang, tempoh hari.”

“Walaupun pada peringkat permulaan terutamanya ketika latihan bebas [Free Practice] saya agak bergelut serta motosikal juga terdapat beberapa masalah, tetapi ia diperbaiki dengan cukup baik oleh pasukan saya.”

“Memang sangat berbangga kerana saya berdepan situasi sukar pada tahun 2022 kerana patah tangan akibat kemalangan jalan raya pada bulan Ogos.”

“Keadaan itu menyebabkan saya hanya sempat beraksi pada tiga perlumbaan awal dan kemudianya hanya berehat di rumah sambil menunggu pulih daripada kecederaan.”

“Memang rehat lama tu buatkan saya menyimpan keazaman tinggi untuk membuktikan kemampuan sebaik sahaja saya kembali dan Alhamdulillah semuanya di landasan terbaik pada ketika ini.”

“Suka duka pada permulaan pembabitan saya dalam sukan permotoran ini jelas mula mematangkan diri saya untuk terus berdisiplin dan lebih cemerlang bagi mencapai impian untuk ke pentas lebih tinggi pada masa akan datang,” ujar Amir Asyraf bercakap kepada wakil Vocket FC.

Muhammad Amir Asyraf Mohd Azman pada ketika ini berada di tangga kedua dalam kedudukan keseluruhan dengan 74 mata, hanya ketinggalan enam mata di belakang Md Danish Hakimi Mahadi.